Isnin, 11 November 2019

APA ITU ASID URIK?

Assalam dan selamat sejahtera untuk semua pengunjung blog sis yang tak seberapa ni. Syukur alhamdulillah kerana kita semua masih diberi kesempatan untuk menghirup udara dan bernafas di bumi ini. Sebenarnya sis ni sedang bekerja di salah sebuah unit dialisis di Selangor sebagai jururawat. Hari-hari kerja memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang telah mengalami kerosakan buah pinggang kekal dan memerlukan rawatan dialisis sebanyak 3 kali seminggu.


Sis terfikir untuk menulis berkaitan topik ini disebabkan sebilangan pesakit-pesakit sis menghadapi gejala GOUT. Kesian sangat pada mereka. Sudahlah mengalami kerosakan kekal buah pinggang yang terpaksa menjalani dialisis 3 kali seminggu, terpaksa pula menanggung kesakitan disebabkan gejala GOUT. Sis cuma berharap pesakit-pesakit yang sedang menanggung penyakit tersebut sentiasa tabah. Ada hikmah disebalik ujian tersebut. Ok jom kita sama-sama belajar tentang apa itu Asid Urik dan GOUT.

ASID URIK merupakan bahan sisa semulajadi hasil dari pencernaan makanan yang mengandungi purin. Beberapa jenis makanan yang mengandungi kandungan purin yang tinggi seperti sesetengah jenis daging, sardin dan kekacang. Kebiasaannya badan kita akan menyaring keluar semua asid urik melalui buah pinggang dan air kencing. Jika anda mengambil makanan yang mengandungi jumlah purin yang berlebihan, atau jika badan anda tidak dapat menyingkirkan sisa buangan tersebut dengan cepat, sama ada disebabkan oleh kerosakan buah pinggang dan lain-lain, maka asid urik akan berkumpul didalam darah. Ia boleh menyebabkan masalah Gout dan batu karang. Menurut Harian Metro, batu karang yang disebabkan oleh asid urik adalah lebih tinggi iaitu 17 peratus berbanding hanya 4 peratus di negara Barat. Ini menunjukkan gaya pemakanan antara faktor kepada penyakit batu karang berlaku di negara ini.



                                                         GEJALA GOUT

GEJALA ASID URIK BERLEBIHAN (HIPERURISEMIA)

Jika kandungan Purin yang berlebihan didalam badan, ia boleh menyebabkan serangan radang sendi (gout) khususnya dibahagian ibu jari kaki dan tangan, menyebabkan merah, panas, bengkak dan tersangat sakit.

Terdapat pelbagai makanan yang TINGGI dalam kandungan purin iaitu:
- Organ haiwan, seperti hati, paru-paru dan usus
- Ikan bilis
- Ikan tenggiri
- Kapis dan kupang, kerang
- Sotong
- Angsa dan itik
- Alkohol, terutamanya bir

Makanan sederhana kandungan Purin:
- Asparagus
- Kubis bunga
- Bayam
- Cendawan
- Kacang hijau





BAGAIMANAKAH CARA MENGAWAL GEJALA GOUT?

- Minumlah air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari, dan lebihkan jika anda aktif bersukan dan berpeluh.
- Hadkan pengambilan minuman manis dan berkarbonat
- Ambillah makanan seimbang, kurang lemak, dan melebihkan buah-buahan, sayuran dan bijirin didalam menu harian anda.
- Kurangkan pengambilan diet tinggi protein dan kaya asid urik.
- Hentikan pengambilan alkohol terutama pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang, kerana ia boleh meningkatkan asid urik didalam badan anda.
- Bagi pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang, sis nasihatkan supaya jangan ponteng dialisis. Rawatan dialisis akan membantu menyingkirkan asid urik yang berkumpul didalam darah anda.

Terima kasih sudi membaca artikel ini. Jumpa lagi pada artikel seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan